Isu penipuan permit kerja melibatkan pekerja asing di negara ini disifatkan sebagai krisis berantai yang bukan sahaja merugikan mangsa, malah memberi kesan langsung kepada ekonomi dan kestabilan sosial negara. Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim mendedahkan, kegiatan sindiket yang memanipulasi proses permit kerja kini semakin membimbangkan kerana ia menjerumuskan ribuan pekerja asing ke dalam status pendatang asing tanpa izin (PATI) tanpa mereka sedari. “Ramai pekerja ini masuk secara sah atau dijanjikan pekerjaan yang sah, tetapi akhirnya dokumen mereka tidak diproses atau rupanya palsu. Secara automatik mereka menjadi PATI dan terdedah kepada tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan. Katanya, situasi itu membuka ruang kepada eksploitasi buruh secara meluas termasuk unsur pemerdagangan manusia dan buruh paksa. “Mereka tidak berani tampil membuat laporan kerana takut ditahan. Keadaan ini menyebabkan mereka dipaksa bekerja lebih masa tanpa bayaran setimpal, malah ada yang langsung tidak dibayar gaji,” jelasnya. Hishamuddin menegaskan, kesan penipuan permit kerja bukan sekadar melibatkan mangsa, sebaliknya kerajaan turut menanggung kos besar setiap tahun. “Operasi penguatkuasaan, penahanan di depoh imigresen, kos makanan, perbicaraan mahkamah dan proses penghantaran pulang memerlukan peruntukan jutaan ringgit. Ini satu ketirisan yang akhirnya ditanggung rakyat,” tambah beliau. Dalam pada itu, Hishamuddin turut memberi amaran mengenai implikasi kesihatan awam apabila pekerja tidak berdokumen takut mendapatkan rawatan. “Apabila mereka sakit, mereka tidak berani ke hospital kerana takut ditahan. Risiko penularan penyakit berjangkit boleh berlaku dan akhirnya masyarakat setempat juga terdedah,” katanya. Mengulas pihak yang mengaut keuntungan, Hishamuddin mendakwa sindiket dan ejen haram merupakan ‘pemenang utama’ dalam jenayah ini. “Mereka kutip ribuan ringgit kononnya untuk bayaran visa, permit dan kos pemprosesan yang sebenarnya tidak wujud. Dalam masa sama, ada majikan tidak beretika mengambil kesempatan menggunakan buruh murah tanpa membayar levi, insurans atau caruman wajib,” jelasnya. Tambah beliau, sekiranya berlaku ketirisan dalam penguatkuasaan, individu yang tidak amanah turut mendapat manfaat melalui rasuah dan sogokan. Dalam pada itu, beliau menegaskan, pekerja asing adalah mangsa paling terkesan kerana ada yang sanggup menjual tanah atau berhutang di negara asal untuk membayar ejen. “Mereka hilang wang, hilang perlindungan undang-undang dan hidup dalam ketakutan. Ini satu bentuk eksploitasi moden yang sangat kompleks dan melibatkan sindiket rentas sempadan,” katanya. Hishamuddin turut mengingatkan, negara berdepan risiko kehilangan hasil levi berbilion ringgit serta kemungkinan terjejas dari segi imej antarabangsa jika isu pemerdagangan orang gagal ditangani dengan tegas. Beliau berkata, majikan yang mematuhi undang-undang juga menjadi mangsa persaingan tidak adil kerana terpaksa bersaing dengan pihak yang memotong kos melalui penggunaan buruh haram. “Ini bukan hanya isu pekerja asing. Rakyat tempatan juga terkesan daripada sudut peluang pekerjaan, keselamatan dan kesejahteraan komuniti. “Kita amat berharap supaya tindakan penguatkuasaan lebih tegas dan menyeluruh terhadap sindiket serta pihak yang bersubahat dalam penipuan permit kerja,” katanya lagi. #malaysiagazette